Pakaian Tradisi Kaum BUGIS

"BAJU BODO"


BAJU Bodo iaitu pakaian tradisional Bugis menjadi kebanggaan masyarakat berasal dari Sulawesi Selatan, termasuk mereka yang bertapak di timur Sabah kerana dikatakan antara busana paling awal dihasilkan.
Ini kerana masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan pada masa lampau iaitu ratusan tahun lalu dikatakan sudah mula menggunakan baju Bodo yang diperbuat daripada kain muslin, iaitu lembaran kain hasil tenunan daripada kapas dan benang menyebabkannya kelihatan agak jarang.
Berdasarkan catatan sejarah, kain muslin pertama dibuat dan didagangkan di Kota Dhaka, Bangladesh dan dikenali sebagai 'maisolos' di Yunani, manakala masali' di timur India dan ruhm di Arab.

- Baju Bodo turut dikenali sebagai baju Tokko kerana tiada lengan.
- Busana tertua di dunia kerana sudah mula digunakan pada pertengahan abad IX di Sulawesi Selatan.
- Mempunyai lima warna iaitu jingga, merah, ungu, putih dan hijau
- Masyarakat Bugis mula bertapak di Sabah pada kurun ke-18 bermula di daerah Tawau
- Kedatangan Bugis di selatan Semenanjung iaitu di Johor, Riau dan Lingga dikatakan bermula kurun ke-16.

Pada majlis perkahwinan, baju Bodo diperbuat daripada kain sutera atau songket dihias dengan manik dan renda mengikut kreativiti si penjahit dan perubahan zaman.

Lebih menarik, baju terbabit dipakai dengan pelbagai hiasan untuk melengkapi busana dikenakan dengan semua perhiasan dari kepala hingga ke hujung kaki adalah berwarna emas, sekali gus menampakkan kemewahan si pemakai.
Pengantin wanita akan memakai mahkota dikenali saloko dalam bahasa Bugis, sanggul berhiaskan bunga dengan tangkai atau pinang goyang, anting panjang atau bangkarak, manakala perhiasan di leher antara lain kalung berantai atau geno ma bule, kalung panjang (rantekote) dan kalung besar (geno sibatu).
Bagi pengantin lelaki pula, mereka memakai sarung atau lipa garusuk dan penutup kepala atau passapu serta tidak dilupakan kelengkapan busana seperti perhiasan keris, gelang, selempang atau rante sembang dan hiasan pada penutup kepala atau sigarak.
Keris yang tersemat kemas pada pinggang pengantin dengan warna keemasan dikenali dengan sebutan pasattimpo atau tatapareng, biasanya adalah keris pusaka warisan turun-temurun.

Comments

Popular posts from this blog

Makanan tradisi suku kaum BUGIS

Pulau Menarik Di sabah - Top 3